Meneladani Hijrah Rasulullah SAW

Oleh : Fitriah Lana Baqiah 

Alhamdulillah, kita sudah memasuki Tahun Baru Hijriyah 1 Muharram 1441H semenjak bermulanya catatan kalendar Hijriyah yang disandarkan kepada salah satu peristiwa agung dalam lipatan sejarah Islam, iaitu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat radhiallahu anhum ke Madinah al-Munawwarah. Hijrah Rasulullah SAW ini berlaku pada tahun ke-14 kenabian, sekali gus menandakan bermulanya era baharu bagi umat Islam. Peristiwa agung tersebut kemudiannya dijadikan sebagai penanda bermulanya pengiraan tahun Hijriyah oleh Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA untuk melancarkan urus tadbir Khilafah Islam. 

Pemilihan peristiwa hijrah menunjukkan betapa peristiwa tersebut mempunyai kesan yang sangat signifikan dalam sejarah peradaban Islam. Peristiwa ini merupakan manifestasi thariqah (metodologi) dakwah yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan risalah Islam ke seluruh dunia. Peristiwa hijrah yang berlandaskan wahyu ini turut menandakan peralihan fasa dakwah Rasulullah SAW daripada proses thalabun nusrah (meminta pertolongan) kepada fasa penerapan hukum-hakam Islam dalam bentuk kenegaraan sejajar dengan penubuhan Daulah Islam pertama di Madinah al-Munawwarah.

Sebelum turunnya perintah untuk berhijrah, Rasulullah SAW telah mendatangi ketua-ketua kabilah dan suku Arab bagi menyampaikan risalah Islam serta mendapatkan dokongan agar syariat Islam dapat diterapkan secara sempurna. Seruan baginda SAW akhirnya disahut oleh Bani Aus dan Khazraj dari Yathrib. Mereka kemudian menyatakan kesediaan untuk menerima Islam dan memberikan sumpah setia dalam Baiah Aqabah Pertama pada tahun ke-12 kenabian. Rasulullah SAW kemudiannya mengutuskan Mus’ab bin Umair RA. bagi menyebarkan Islam ke setiap pintu-pintu rumah di Yathrib. Beliau kemudian kembali ke Makkah pada tahun berikutnya bersama-sama 73 orang lelaki dan dua orang wanita daripada Bani Aus dan Khazraj seterusnya mereka memberikan sumpah setia kepada Rasulullah SAW dalam Baiah Aqabah Kedua, iaitu baiah yang merujuk kepada perlantikan baginda sebagai pemimpin mereka atau dinamakan baiah iniqad.  Setelah itu, perintah hijrah diturunkan dan sejurus ketibaan baginda SAW di Yathrib hukum-hakam Islam berkaitan masyarakat dan negara diterapkan dan nama Yathrib ditukarkan kepada Madinah.

Sesungguhnya hijrah bukanlah sekadar perubahan menjadi insan yang lebih baik, bahkan mendorong setiap individu Muslim untuk berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai ketundukan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam segenap aspek kehidupan. Dengan kata lain, hijrah meliputi perubahan dari kemaksiatan menuju ketaatan, daripada segala bentuk kejahilan menuju Islam, dan daripada masyarakat jahiliyah menuju masyarakat Islam. Antara aspek yang jarang disentuh termasuklah pembahasan hijrah dari sudut politik dan ideologi. 

Sedangkan para fuqaha’ telah mendefinisikan hijrah dari sudut syarie sebagai meninggalkan Darul Kufur menuju Darul Islam [an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, jilid II]. Menurut kitab Masyrû’ Dustûr li ad-Dawlah al-Islâmiyyah – “Darul Islam ialah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam Islam dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan Islam manakala Darul Kufur ialah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam kufur dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan bukan Islam“.

Namun, Mengapa Keamanan dan Kesejahteraan belum didapat oleh Umat di Negeri ini? Karena sistem yang diterapkan masih lagi tidak berubah yaitu sistem demokrasi-sekular-kapitalis yang menjunjung tinggi kedudukan akal manusia dan memisahkan agama daripada urusan kehidupan dengan mengehadkan peranannya kepada hal-hal peribadi semata-mata. Meskipun umat Islam di negara ini merupakan kelompok majoriti, namun jika dilihat dari perspektif yang lebih menyeluruh, keadaan masyarakat hari ini begitu mirip seperti keadaan masyarakat jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Hal ini dapat disaksikan dalam aspek penerapan hukum dan undang-undang buatan manusia, penindasan, kecurangan dalam aktiviti ekonomi, serta berleluasa gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Bahkan dalam sesetengah aspek, keadaan masyarakat hari ini lebih dashyat daripada masyarakat jahiliyah.

Sebagai respons kepada kerosakan yang melanda, muncul pihak yang cuba melakukan perbaikan (islah) dalam masyarakat melalui pendekatan tadarruj (berperingkat). Meskipun berniat baik, namun pendekatan sebegini hanya memaksa umat agar berkompromi dengan sistem yang sedia ada dan bukannya mengubah sistem yang rosak tersebut. Inilah yang menyebabkan usaha dan tenaga umat disia-siakan kerana dialihkan daripada menuju perubahan yang benar. Sedangkan apa yang perlu diusahakan pada hari ini adalah melakukan perubahan secara sistemik dan bersifat inqilab fikriyah. Tambahan lagi, usaha perbaikan (islah) dalam sistem sedia ada akan hanya memanjangkan lagi tempoh hayatnya, serta menjauhkan umat Islam daripada fokus perubahan yang sebenar. Perubahan hakiki hanya akan dapat dicapai apabila kita kembali mengamalkan kehidupan Islam dalam segenap perkara, termasuklah dalam aspek sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” [TMQ al-Baqarah (2): 208].

Justeru, demi mencapai perubahan hakiki, perlulah kita bersama-sama berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan menggabungkan diri kita ke dalam gerakan/kutlah Islam yang meneladani thariqah dakwah Rasulullah SAW.

Post a Comment

Previous Post Next Post